mcmc
Rekreasi & Pelancongan

BANGUNAN BERSEJARAH

RUMAH REHAT BUKIT RESIDEN (1922)

 

Rumah Residen ini dibina pada tahun 1922 di Bukit Residen,iaitu puncak bukit yang tertinggi di Kuala Lipis. Ia dijadikan sebagai rumah kediaman Residen Inggeris.Penghuni pertama rumah ini ialah Hugh Clifford yang merupakan Residen British pada masa itu.Selepas beliau,Residen-residen Inggeris terus menduduki rumah ini sehinggalah tercetusnya perang dunia kedua.Pada 1958 bangunan ini dijadikan sebagai asrama murid-murid lelaki Sekolah Clifford sehinggalah ditutup pada 31 Disember 1965 dan seterusnya dibiarkan kosong. Terdapat satu ruang di bawah tangga dipercayai terletaknya sebuah terowong dianggarkan 15 kaki panjang. Ia digunakan sebagai tempat perlindungan dari serangan bom. Pada tahun 1983,bangunan ini telah diperbaikioleh kerajaan negeri untuk dijadikan Rumah Rehat Kerajaan. Manakala pada Disember 1985 sudut Muzium Lipis diwujudkan untuk mempamerkan bahan-bahan sejarah dan kebudayaan Daerah Lipis.Ianya merupakan sudut muzium pertama yang ditubuhkan di Negeri Pahang.

PAHANG CLUB (1907)

Pahang Club merupakan bangunan terawal dibina oleh British pada tahun 1907.Tapak bangunan ini ialah tapak pertama pihak Inggeris mentadbir Pahang. Rumah ini di bina untuk tujuan kediaman Hugh Clifford yang memegang jawatan ‘Supritendent’ Ulu Pahang ketika itu.Pada Jun 1898, Kuala Lipis telah menggantikan Pekan sebagai Ibu Negeri Pahang dan rumah ini menjadi kediaman untuk Residen British. Hugh Clifford telah memilih Bukit Residen untuk membina kediaman baru bagi memudahkan mengawal kawasan Lipis dan rumah tersebut telah siap dibina pada tahun 1922. Setelah Hugh Clifford berpindah, rumah ini telah didiami oleh Inspektor Polis British sehingga tahun 1926.Beliau mengetuai keanggotaan Polis British di mana ahlinya seramai 100 orang yang terdiri daripada orang Sibu,Dayak, dan Melayu. Pada pertengahan tahun 1926 rumah ini telah ditinggalkan dan kerajaan Inggeris telah menjadikannya sebagai kelab khas untuk pegawai-pegawai British.Rumah ini sedikit pun tidak dilakukan pengubahsuaian bertujuan untuk menjaga keaslian seni binanya.Semasa menjadi Kelab Pahang, rumah ini dikawal rapi. Menurut seorang tukang kebun iaitu Pak Razak bukan sebarang orang yang boleh naik ke rumah itu yang mana mestilah berpakaian kemas,bertali leher dan kasut mestilah berkilat.Semasa rumah ini ditinggalkan dahulu pernah di ura-urakan untuk dijadikan istana tetapi didiamkan kerana cadangan tersebut di tolak oleh pihak istana. Pada tahun 1957 keahlian kelab hanya untuk orang-orang kenamaan, orang British, dan pegawai tinggi kerajaan sahaja. Apabila Malaya merdeka keahlian kelab di buka untuk orang-orang tempatan yang berduit dan tidak mengira kaum.Aktiviti kelab ini ialah untuk kemudahan rekreasi,aktiviti sukan seperti tennis,badminton dan takraw serta menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

PEJABAT PENTADBIRAN DAERAH LIPIS (1919)

Bangunan ini siap dibina pada tahun 1919 dan merupakan pusat pentadbiran utama bagi Negeri Pahang. Bangunan ini menempatkan Pejabat Residen British dan pegawai-pegawai pentadbiran bagi Negeri Pahang di tingkat atas.Manakala di bahagian bawah pula merupakan Pejabat Kutipan Hasil dan Perbendaharaan Kerajaan British. Kuala Lipis pada ketika itu adalah daerah yang terbesar di negeri Pahang kerana merangkumi Daerah Jerantut sekarang. Selain itu,daerah ini merupakan satu daerah yang kaya dengan hasil-hasil emas,bijih, hasil-hasil dan getah. Apabila wujudnya jawatan Menteri Besar pada tahun 1948,pejabat Menteri Besar Negeri Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang ditempatkan di bangunan ini. Dato’ Setia Wangsa Sir Mahmud Bin Mat merupakan Menteri Besar Pahang yang pertama di kalangan orang Melayu bermula 1 Febuari 1948 hingga 1 Febuari 1951. Nama beliau juga telah diabadikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Wangsa sekarang. Di antara Setiausaha Kerajaan Pahang yang pernah berkhidmat di situ adalah Dato’ Setia Raja Abu Samah Bin Haji Mat pada 1948 hingga 1952, yang merupakan Setiausaha Kerajaan pertama dan Setiausaha Kerajaan Pahang yang kedua iaitu Orang Kaya Indera Shahbandar Abdul Razak Bin Dato’ Hussein. Apabila Ibu Negeri Pahang dipindahkan ke Kuantan pada 27 Ogos 1955,pusat pentadbiran ini dijadikan Pejabat Daerah Lipis sehingga kini. Tardapat sebuah bilik yang pernah menempatkan Sir Hugh Clifford menjalankan tugas sebagai Pentadbir Daerah Lipis. Di bangunan itu juga terdapat mahkamah Daerah Lipis dan masih wujud sehingga sekarang walaupun tidak digunakan lagi. Selain itu, di bahagian bawah terdapatnya sebuah Bank Perdagangan British yang dikenali sebagai Merchantile Bank. Apabila terbinanya bangunan-bangunan tambahan, seluruh jabatan kerajaan yang terdapat di Lipis dihimpunkan di bawah satu kompleks. Pada masa ini terdapat sebahagian jabatan-jabatan kerajaan masih berada di kompleks ini.