





(1890) Kuala Lipis terletak di pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Ia pernah menjadi ibu negeri pertama Pahang pada tahun 1898 sebelum pusat pentadbiran dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955. Ketika zaman penjajahan British, banyak kemudahan dibina termasuk jalan utama yang menghubungkan Lipis dengan Kuala Lumpur pada tahun 1890 serta landasan kereta api ke Gemas pada tahun 1920. Kesan peninggalan penjajah masih dapat dilihat melalui bangunan kolonial seperti Rumah Rehat Bukit Residen dan Sekolah Clifford. Sebelum abad ke-19, kawasan ini juga diperintah oleh Raja-Raja Pahang berketurunan Melaka dan Johor-Riau, manakala kemasukan orang Minangkabau turut mempengaruhi sistem politik dan budaya tempatan, terutamanya kerana kegiatan perlombongan emas di Hulu Pahang.
Asal-usul nama Kuala Lipis mempunyai beberapa versi cerita yang menarik. Cerita pertama menyebut bahawa nama ini berasal daripada sejenis tumbuhan yang banyak tumbuh di kawasan tersebut pada masa dahulu, iaitu serau lipis, sejenis tumbuhan menjalar yang berbunga putih. Cerita kedua pula mengatakan nama Kuala Lipis berasal daripada perkataan “lepas”. Dahulu, sungai merupakan laluan utama bagi penduduk untuk bergerak ke sana sini. Sungai Lipis dan Sungai Jelai menjadi jalan utama bagi penduduk kampung untuk “lepas” ke mana sahaja mereka mahu pergi. Lama-kelamaan, sebutan “Kuala Lepas” berubah menjadi “Kuala Lipis” atau “Kolepih” dalam loghat tempatan.
Selain itu, terdapat juga cerita ketiga yang mengaitkan nama Lipis dengan perkataan “melepeh”, iaitu kegiatan menganyam atau melipat daun rumbia dan daun pedor untuk dijadikan atap rumah. Kegiatan ini dikatakan berlaku di kawasan muara sungai, dan penduduk sering menyebut bahawa mereka mahu “melepeh”. Lama-kelamaan, kawasan itu dikenali sebagai “Kuala Lepeh”, yang dipercayai berubah menjadi “Kuala Lipis”. Nama ini dipercayai wujud sejak orang Melayu Melaka mula menguasai kawasan Sungai Pahang dan Sungai Jelai pada akhir abad ke-16.